بسم الله الرحمن الرحيم
Salam sejahtera, salam kasih sayang…
ISTANBUL-DAY 1
“Kota Constantinople pasti akan ditawan oleh seorang pemimpin, dialah sebaik-baik pemimpin & tenteranya sebaik-sebaik tentera”.[H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335].
Sebaik-baik pemimpin yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu, akhirnya terjawab hampir 800 tahun kemudian. Diusia semuda 21 tahun, Sultan Muhammad II berjaya menakluk kota gah Constantinople. Baginda menukar namanya kepada Islambol yang bermaksud ‘Islam keseluruhan’, kini dikenali sebagai Istanbul. Baginda diberi gelaran “Al Fatih”, "Pembuka yang besar", seperti surah Al Fatihah al-fath" (الفاتح) bermaksud surah pembukaan atau “Pembuka yang besar’.
Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Solat Jumaat pertama diadakan di sini dimana beliau sendiri menjadi imamnya. Terbukti baginda adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adala sebaik-baik tentera. Dikatakan bahawa para tentera Sultan Muhammad Al Fatih tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh. Manakala Sultan Muhammad Al Fatih terbukti paling hebat diantara mereka, kerana baginda sahaja yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajjud & rawatib sejak baligh hinggalah ke saat baginda meninggal dunia. Mendengar dan membaca kisah Sultan Muhammad Al Fatih dan juga kegemilangan pemerintahan Ottoman membuatkan kembara kami di bumi Turki bermula dengan penuh pesona.
Kami berlepas ke Istanbul pada 31hb.Mac,2014 pukul 12.30 malam menaiki penerbangan MAS dan tiba di Istanbul lebih kurang pada pukul 6.15 pada tarikh yang sama. Tiket penerbangan telah dibeli beberapa bulan lebih awal ketika Mas mengadakan promosi. Kami hanya pergi berdua, ummiross dan suami, berkembara cara kami.
Dari Istanbul Ataturk Airport kami menaiki train ke hotel penginapan kami di Sirkeci. Dari stesen ini, hanya perlu berjalan kaki ke hotel. Hotel Emin ini kami booking melalui booking.com berdasarkan review tentang kedudukannya yang hanya ‘walking distance’ untuk ke beberapa tempat yang menjadi tarikan utama pelancong seperti Gulhane Park, Blue Mosque, Hagia Sophia, Topkapi Palace dan Basilica Cistern. Dengan kadar sewa RM130 semalam, juga harga offer yang dapat kami grab, penginapan di hotel ini sangat berbaloi. Walaupun biliknya agak kecil, tapi cukuplah sekadar untuk kami merehatkan badan setelah berjalan seharian.
Juga ada masjid berdekatan, hanya diseberang jalan, Karaki Huseyin Celebi Camii. Jika kebetulan berada di hotel, Mrhubby akan meluangkan masa untuk solat berjemaah disitu.
Sempat bergambar kenangan bersama imam selepas solat maghrib.
Setelah check-in dan bersarapan, kami keluar menuju ke Gulhane Park, tak jauh dari hotel ni. Ini laluan kami, menyusuri deretan kedai sepanjang laluan keretapi.
Pintu masuk ke Gulhane Park..dah namanya taman, percuma je ye.
Pada penghujung Mac dan sepanjang April, merupakan masa yang sesuai untuk bunga terutamanya tulip berkembang mekar. Istanbul bagai kota dalam taman, dimana-mana sudut yang sesuai, ditanam dengan bunga tulip,Tulip Festival sudah bermula. Di katakan sejak April 2006, pihak berkuasa di Istanbul telah menanam jutaan tulip sehingga mencecah 13 juta pada tahun 2013.
Udara sejuk dan nyaman, bunga-bunga indah saujana mata memandang, tenang rasanya sepetang di Gulhane Park.
Berbagai warna tulip yang sempat dirakam oleh lensa kamera.
Penat berjalan, singgah sekejap di Tea Garden dengan view Selat Bhosporus yang memukau pandangan.
Pertama kali pekena cay, teh Turki..suka!!!
Selat Bosphorus yang membiru, selat yang memisahkan Turki bahagian Eropah dan Asia, juga menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam. Sepanjang tepian selat ini padat dengan penduduk dan salah satu kotanya adalah Istanbul.
Sesudah membasahkan tekak dengan cay panas dan bersantai di tepian Selat Bosphorus, kami berjalan menuju pula ke destinasi seterusnya, Masjid Sultan Ahmed atau Sultanahmet Camii.
Masjid dengan 6 menara yang menggabungkan elemen Byzantin dari Hagia Sophia dengan seni bina Islam tradisional mula dibina antara tahun 1609-1616 dan arkitek yang bertanggungjawab dalam pembinaannya adalah Sedefhar Mehmet Aga, arkitek diraja yang juga merupakan anak murid kepada arkitek termasyhur-Sinan.
Juga dikenali sebagai Blue Mosque disebabkan tile berwarna biru yang mendominasi hiasan pada dinding bahagian dalamnya.
Masjid indah dengan persekitaran cantik, bunga-bunga tulip menghiasi sebahagian besar taman, cuaca pula nyaman, siapalah tidak terpesona berada di sini.
Street vendors di sekitar Blue Mosque. Kehadiran mereka bukan sekadar memberi peluang untuk pelancong merasa makanan tempatan tetapi juga turut menceriakan suasana.
Jangan lupa merasa Dondurma, aiskrim Turki. Kena get ready supaya tak terkejut bila dimain-mainkan oleh sipenjual sebelum aiskrim sampai ke tangan.
Udara petang semakin sejuk, tekak semakin kering, secawan Salep panas dengan taburan cinnamon sangat nyaman terasa.
Untungnya hotel dekat, malam pun masih sempat ‘menembak’, sambil jalan-jalan cari makan sempat lagi tangkap gambar sekeping dua.
Hari pertama di Turki sudah sangat mengujakan…